Saturday, October 5, 2013

PUNB lantik lebih ramai pegawai audit - Ali Rustam

Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan menyediakan lebih ramai pegawai audit bagi mengaudit syarikat yang memperoleh pinjaman daripada perbadanan tersebut, bagi memastikan syarikat tersebut berjaya.


Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, setakat ini seorang pegawai audit ditugaskan untuk mengaudit 80 syarikat dan oleh itu PUNB menyasarkan supaya seorang pegawai audit untuk 20 syarikat sahaja.


"Sistem audit ini penting supaya masalah yang dihadapi sesebuah syarikat itu dapat dikesan lebih awal dan ditangani," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program taklimat pembiayaan perniagaan PUNB kepada usahawan negeri Kelantan di sini hari ini.


Beliau berkata, sebanyak 70 peratus syarikat yang memperoleh pinjaman daripada perbadanan tersebut berjaya manakala 30 peratus lagi gagal, dan antara puncanya ialah syarikat tersebut tidak diaudit dengan sempurna.


Katanya sehingga September lepas, sebanyak RM184 juta daripada RM200 juta yang diperuntukkan sebagai pinjaman tahun ini diluluskan kepada usahawan.


Mohd. Ali berkata, PUNB telah mengenal pasti beberapa sektor penting dan kritikal, dengan penyertaan usahawan Bumiputera agak rendah berbanding kaum lain, seperti sektor automotif, telekomunikasi, bahan binaan dan profesional seperti klinik perubatan, untuk meningkatkannya.


"Kita berharap usahawan Bumiputera yang memperoleh pinjaman supaya gigih menjalankan perniagaan masing-masing supaya berdaya maju. Selain pinjaman, PUNB sentiasa bersedia untuk memberi khidmat nasihat," katanya.


Beliau berkata, PUNB akan membuka pejabat cawangannya di Kota Baharu dalam tempoh terdekat bagi memberi kemudahan kepada usahawan yang kini terpaksa berurusan di pejabat PUNB wilayah timur di Kuala Terengganu. - BERNAMA


UTUSAN 

No comments:

Post a Comment