Monday, October 21, 2013

Mohd. Ali terkilan Melaka tidak beri sokongan

“Di Melaka saya lebih terkilan kerana tidak mendapat sokongan langsung. Apabila saya tidak memegang sebarang jawatan di negeri atau Pusat tiada siapa hendak lihat saya, tetapi dulu ketika 13 tahun jadi Ketua Menteri semua sokong saya," Mohd Ali Rustam




Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam melahirkan rasa terkilan apabila hanya satu daripada enam bahagian UMNO di negeri ini mengundinya untuk jawatan Naib Presiden UMNO.


Menurutnya, beliau hanya mendapat undi daripada UMNO Bukit Katil yang diketuainya manakala lima lagi iaitu Tangga Batu, Alor Gajah, Masjid Tanah, Jasin dan Kota Melaka tidak berbuat demikian.


“Inilah dunia politik sebenarnya yang dapat saya rasakan. Apa salahnya saya diberi peluang mengisi salah satu daripada tiga tempat bagi jawatan Naib Presiden.


“Kalau nak pilih satu sahaja mungkin keadaan sebaliknya, namun di Melaka saya lebih berasa terkilan kerana tidak mendapat sokongan langsung.


“Inilah hakikat yang harus saya akui. Apabila saya tidak memegang sebarang jawatan di negeri atau Pusat tidak siapa nak lihat saya, tetapi dulu ketika 13 tahun jadi Ketua Menteri semua sokong saya," katanya.
Mohd. Ali ditemui ketika menziarahi jenazah bapa mertua Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang meninggal dunia di Klebang Kechil di sini hari ini.


Mohd. Ali yang bertanding jawatan Naib Presiden bersama lima calon lain tewas selepas hanya mendapat tujuh undi bahagian.


Mohd. Ali yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) hanya mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil selepas menang tanpa bertanding.


Mengulas lanjut beliau berkata, sepanjang 13 tahun memegang jawatan Ketua Menteri, beliau tidak menghadapi sebarang masalah apabila pernah menang jawatan Naib Presiden pada 2004 dan MT.

UTUSAN 

No comments:

Post a Comment