Biarpun tidak lagi menjadi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam masih meneruskan tugas rutinnya sejak 13 tahun lalu iaitu menghadiri majlis perkahwinan dan menziarah orang meninggal dunia.
Berpakaian kemeja berwarna hijau yang sinonim dengan Negeri Bandar Teknologi Hijau dan bercapal, bekas Ketua Menteri Melaka kesembilan itu hari ini menghadiri tujuh majlis perkahwinan dan tiga kematian di sekitar Bukit Katil.
Majlis perkahwinan yang dihadirinya ialah ialah di Bukit Bayan, Sungai Putat, Bukit Beruang, Melaka Baru, Dewan Tun Ali, Bukit Pulau dan Batu Berendam.
Beliau turut menziarahi keluarga yang kematian sanak-saudara di Kampung Bukit Baru Dalam, Kampung Batu Berendam dan Kampung Alur Bertam, Hulu.
Di setiap tempat yang disinggahi bekas Ketua Menteri, sudah pasti ramai yang mengambil kesempatan bersalaman, bergambar dan tidak kurang melahirkan rasa simpati ekoran kekalahannya di Parlimen Bukit Katil dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Mohd. Ali ketika ditemui berkata, majlis perkahwinan dan menziarah orang meninggal dunia adalah rutin yang menjadi darah dagingnya sejak dari dahulu hingga sekarang.
"Saya sudah tidak menjadi Ketua Menteri tapi saya tetap dengan rutin biasa sejak dulu iaitu hadir majlis perkahwinan dan menziarah orang meninggal dunia," katanya ketika ditemui pemberita.
Menurutnya, rutin itu bukan hanya sewaktu beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri sejak 13 tahun lalu tetapi sudah lama diamalkan.
Kesempatan itu juga digunakan beliau bersalaman dengan semua orang ramai di tempat yang disinggahinya sambil mengucapkan terima kasih kerana rakyat masih percaya kepada BN untuk menang dua pertiga dalam PRU-13.
Jika sebelum ini, puluhan kereta mengekori Mohd. Ali tetapi kali ini hanya dua buah kereta mengiringinya ke semua lokasi tersebut bertemankan pemandu dan pembantu baharu serta jurugambar yang masih setia bertugas untuk laman sosial Facebook beliau.
UTUSAN
No comments:
Post a Comment